KUNJUNGAN HORMAT DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN SETIU

1 Mac 2000 - Bandar Permaisuri, Dewan Pemuda PAS (DPP) Setiu yang diketuai oleh Ketuanya Ustaz Abd. Zaman @ Bakri bin Mohamad bersama Ahli Jawatankuasa seramai 10 orang telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Daerah Setiu.  Tujuan kunjungan hormat ini ialah mewujudkan hubungan dua hala diantar antara DPP Setiu dan Pejabat Daerah khususnya Pegawai Daerah, meningkatkan kefahaman serta menambah maklumat antara kedua belah pihak dan bertaaruf (berkenal-berkenalan) serta merapatkan ukhuwwah Islamiah antara kedua belah pihak.   Menurut ketuanya DPP Setiu ditubuhkan 20 tahun yang lalu merangkumi 4 Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Setiu yang mempunyai keahlian seramai 500 orang yang merupakan kali pertama dapat mengatur dan berpeluang untuk mengadakan kunjungan hormat kepada Pegawai Daerah dan Pegawai Kanan selepas Kerajaan Baru diperintah oleh PAS. 

 

             Ketibaan rombongan pada jam 9.30 pagi telah diberi taklimat oleh Pegawai Daerah berhubung dengan pentadbiran Pejabat Daerah dan Tanah Setiu.  Dalam pertemuan yang memakan masa kira-kira 1 1/2 jam itu, Pegawai Daerah menyentuh beberapa perkara yang boleh dilaksanakan bagi kebaikan semua rakyat.   Di antara perkara yang disentuh oleh Pegawai Daerah ialah ahli-ahli di bawah kepimpinan Pemuda perlu mendalami prosedur-prosedur ataupun peraturan-peraturan yang berhubung dengan pentadbiran bagi mengemaskan dan melicinkan apa jua aktiviti yang hendak dilaksanakan.
Oleh kerana dasar baru Kerajaan Negeri dalam proses pembentukan, Pegawai Daerah mengharapkan semua pihak dapat bersabar dan boleh mengemukakan cadangan untuk memperbaikinya dengan lebih kemas dan berkesan.  Majlis yang berlangsung dengan suasana yang ceria dan muhibbah telah dapat merapatkan hubungan dua hala diantara pentadbiran daerah dan juga kepimpinan politik.  Majlis ini dihadiri sama oleh YB. Ustaz Saharizulkirnain bin Abdul Kadir.  Adalah diharapkan perjumpaan seperti ini akan dibuat dari masa ke semasa.

....../Buletin pdts

                                                                     BACK