Bekas ahli
JKKK Setiu diminta merapatkan kembali saf |
||
Bandar Permaisuri -9 April, 2000 - Majlis bagi meraikan bekas-bekas ketua kampung/pengerusi JKKK dan ahli jawatankuasanya telah diadakan di perkarangan kediaman Pegawai Daerah Setiu. Majlis yang diadakan dalam suasana penuh muhibah dan kemesraan ini telah dihadiri oleh lebih 200 orang ahli JKKK sekitar Daerah Setiu.Turut sama dalam majlis tersebut ialah YB Ahli Parlimen Setiu, Che Ghani b. Che Ambak , YB ADUN Permaisuri, ADUN Langkap dan ADUN Jabi. Dalam majlis tersebut YB Ahli
Parlimen meminta sidang hadirin kembali bersatu dan merapatkan semula saf khususnya
diperingkat kepimpinan masyarakat dikampung. Katanya perubahan kerajaan dan perubahan
kepimpinan merupakan perkara biasa, ianya berlaku dimana-mana sahaja di dunia seperti mana
yang berlaku di Jepun, Indonesia, India dan yang terbaru di Taiwan. Sudah pastinya
perubahan membawa kemajuan yang lebih dinamik, di peringkat kepimpinan sudah pasti akan
berlaku anjakan paradigma. Beliau seterusnya mengharapkan pemimpin masyarakat memberi
kepercayaan dan peluang kepada kepimpinan baru yang memerintah negeri ini bagi menunaikan
tanggungjawab mereka berasaskan perinsip keadilan. Tambah beliau, perubahan pasti akan
berlaku, cuma rakyat diminta bersabar serta memberi ruang kepada perubahan tersebut untuk
kebaikan bersama. Beliau mengambil contoh sepertimana orang yang baru berumah
tangga, tak mungkin mendapat anak dalam tempoh terdekat seperti tiga atau empat bulan.
Jika ia nya berlaku (mendapat anak), sudah pasti ada sesuatu yang tak kena. Beliau
yang akan berlepas ke Afrika Selatan besok bagi menghadiri satu persidangan
Pelaburan Antara Bangsa berjanji akan berusaha menarik pelabur-pelabur asing untuk datang
ke Terengganu dan seterusnya membuat pelaburan yang akan memanfaatkan rakyat jelata. Sebelum daripada itu Pengerusi Persatuan Bekas Ketua-Ketua Kampung Daerah Setiu En Anuar Mohamad menyeru bekas ahli-ahli JKKK memberi kerjasama kepada JSR bagi meneruskan khidmat kepada masyarakat demi kepentingan rakyat Setiu khususnya. Katanya lagi, kalau dahulu PAS megkritik apa yang UMNO buat, kini giliran UMNO pula menjadi pengkritik, tetapi kritikan tersebut biarlah membina. Di akhir majlis sidang hadirin telah dijamu dengan jamuan makan
tengah hari dalam suasana yang penuh muhibah dan kemesraan.Majlis yang bermula pada jam
11.00 pagi berakhir pada jam 1.00 tengahari. |
||